Mengimbau Kembali Nostalgia 80-90an Di Ah Ma House, Sekinchan

Jika anda ingin mengimbau kembali kenangan zaman kanak-kanak era 80-90an, jangan ketinggalan singgah ke Ah Ma House di Sekinchan, Selangor. Ah Ma House atau dikenali juga Ah Ma Bakery Shop terletak di tengah-tengah ladang sawah padi yang terbentang luas. Jangan risau, jalan masuk ke sini berturap dan lebar. Pelbagai barangan antik dan retro dipamerkan yang bakal menggamit nostalgia lama anda.

Tak jauh dari Ah Ma House, anda boleh merasai pengalaman bermalam di dalam kabin atau kontena, iaitu Farm Ville Cafe & Homestay. Klik di sini untuk mengetahui lanjut mengenai kabin homestay ini .

Farm Ville Cafe & homestay
Farm Ville Cafe & Homestay, Sekinchan.

Apa yang ada di Ah Ma House ini?

Ah Ma House

Zaman dulu kerbau 🐂 digunakan untuk membajak sawah. Seiring dengan perkembangan teknologi, kini pengusaha ladang menggunakan mesin jentera untuk membajak kerana ianya lebih mudah dan cepat.

plowing padi's fields, Sekinchan.
Ladang sawah di hadapan Ah Ma House. Sila abaikan model baju merah itu 😆

Kawasan tapak parkir disediakan bersebelahan Ah Ma House. Di hadapan kawasan parkir ini, pelawat boleh melihat ladang sawahnya yang luas saujana mata memandang lagi menguning. Sambil itu dapat juga melihat bagaimana tanah sawah dibajak dengan menggunakan jentera. Boleh juga kalau nak melawat kilang memproses padi yang tak jauh dari sini. Terasa nak main lumpur? Eh… Jangan nak memandai-mandai ya (take your own risk).

Bagi peminat fotografi, di Ah Ma House ini tidak kurang juga mempunyai spot atau prop yang menarik.

Laman hadapan Ah Ma House.

Di hadapan laman rumah didirikan replika kincir angin. Bolehlah acah-acah berada di negara Belanda 😆. Di sebelah kincir angin tempat di mana pelawat boleh menggantung loket 🔒 dengan nama terukir sebagai lambang cinta abadi 💟.

Pad lock lover
Bak kata penyanyi Ramlah Ram, “Kau kunci cintaku dalam hatimu”. 😁
Posing sat depan ‘kedai kopi’ Ah Ma House 😎 ala-ala vintej gitu.
Pintu masuk ke Ah Ma House

Di hadapan pintu masuk ke Ah Ma House ini dipamerkan 2 biji motor legend, Honda Cup lampu bulat dan Vespa (teringat kartun lagak A. Mahmud dalam majalah Gila-Gila dulu).

Kuih Kapit Ah Ma

Ah Ma House terkenal dengan pembuatan kuih kapit yang resepinya turun temurun dari keluarga pemilik rumah ini, iaitu Kwi Ai Fang. Diceritakan orang, pasaran kuih kapit mereka juga kini dieksport ke beberapa negeri lain.

The making of kuih kapit
Dapur untuk membakar kuih Kapit yang terletak di bahagian depan pintu masuk.

Bahan-bahan untuk membuat kuih Kapit sangat senang iaitu santan pekat, gula, tepung dan telur. Kemudian ianya dibakar dengan menggunakan dapur arang. Kalau kena masa waktu melawat, pelawat dapat melihat bagaimana kuih kapit dibuat secara live.

Dapur Ah Ma

Di satu sudut ruang dapur dipamerkan perkakasan barangan dapur lama seperti pinggan mangkuk yang disusun di dalam gerobok kayu, tempayan, bangku kayu, timba, alat pembuat kuih, papan membasuh baju dan macam-macam lagi.

Ah Ma House antic kitchen
Barangan dapur antik disusun sebagai perhiasan.
Ruang makan dan dapur masak

Di bahagian ruang makan pula ditempatkan dapur arang/kayu, periuk belanga dan meja makan. Dindingnya pula dihiasi dengan gantungan tudung saji, lampu minyak tanah dan nyiru dengan pelbagai saiz dan bentuk.

Ruang Tamu Ah Ma

Ruang tamu Ah Ma House

Di ruang tamu Ah Ma House disusun dengan perabot kayu antik dan rotan, pameran peralatan letrik lama seperti TV hitam putih, radio kaset dan katrij, mesin membuat gula-gula kapas dan barangan gajet-gajet lama.

Kamera filem yang pernah popular suatu ketika dahulu.

Jualan Runcit Ah Ma

Bagi budak-budak zaman dulu, selalunya jajan yang popular ialah yang ada mainan di dalamnya macam Ding Dang Tora (teringat saya pada Mat Sentul. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya). Snek kegemaran saya pula masa tu ialah Chikadees.

Old school goodies
Antara gula-gula dan mainan dulu-dulu yang dijual di sini.

Selain dari itu ada pelbagai lagi barangan runcit yang dijual di sini yang jenamanya jarang-jarang kita boleh jumpa di kedai-kedai biasa. Kebanyakannya home-made seperti kopi, sos, kicap, biskut tradisional, keropok ikan dan ketam, jem dan juga cenderahati.

Ah Ma shop
Pelbagai barangan runcit dijual
Barangan cenderahati dan kaunter bayaran.

Check out my review of Ah Ma House on Google Maps here.

Lokasi Ah Ma House

*Nota: Maklumat di atas adalah dari pengalaman saya sendiri. Setiap foto adalah hakcipta terpelihara. Penilaian (review) dibuat tanpa dipengaruhi oleh pihak ketiga.

2 thoughts on “Mengimbau Kembali Nostalgia 80-90an Di Ah Ma House, Sekinchan

  • 7th February 2020 at 7:06 am
    Permalink

    Wowww… Menggamit memori betul laaaa…
    Nice one! Siap tgk live lagi buat kuih kapit…kapit coklat Ada Tak 🙂

    Reply
    • 7th February 2020 at 7:25 am
      Permalink

      😆 Kapit coklat xde masa saya dtg melawat. Tak pasti pulak kalau atas permintaan dia boleh buat ke tak. Zaman saya kecik² dulu merasa jgk lah buat kuih Kapit ni kt Kampung 😁

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *