Nostalgia Anak Kampung

Bagi mereka yang pernah melalui zaman kanak-kanak bermula era 70’an, pasti ada banyak kenangan hidup sebagai anak desa. Bagi mengimbas kembali nostalgia lama, Muzium Negara telah menganjurkan satu pameran tahunan iaitu Nostalgia Anak Kampung.

Muzium Negara Malaysia
Muzium Negara

Bertempat di perkarangan Muzium Negara, berbagai acara permainan, aktiviti dan masakan dulu-dulu diperkenalkan kembali. Kesempatan ini saya ambil dengan membawa anak-anak saya ke sini supaya mereka juga dapat merasai pengalaman yang pernah ayah dan ibu mereka rasai dulu.

Permainan Anak Kampung

Tuju Tin

Nostalgia Anak Kampung Tuju Baling Tin
Tuju Tin atau Baling Tin

Permainan Tuju Tin atau Baling Tin adalah antara permainan paling popular suatu ketika dahulu. Tin susu kosong disusun membentuk 3-segi (3-2-1) dan dibaling dari jarak tertentu dengan selipar. Selalunya guna selipar jepun sebab dia berat.

Permainan ini biasanya dimainkan oleh 2 pasukan iaitu pasukan melontar dan pasukan menyerang. Pasukan melontar akan baling tin tersebut kemudian lari untuk mengelak serangan pasukan menyerang. Manakala pasukan menyerang akan baling selipar tadi ke mana-mana ahli pasukan melontar. Syaratnya kena baling kat kaki. Kalau baling kat badan, ada kemungkinan budak tu merajuk tak nak main lagi ๐Ÿ˜†. Dalam masa yang sama, pasukan melontar dikehendaki menyusun semula tin tadi. Sekiranya balingan tadi terkena pada ahli kumpulan melontar maka ahli tersebut dikira ‘mati’ dan kumpulan melontar akan kurang seorang ahli. Kiraan mata akan dikira.

Teng Teng

Nostalgia anak kampung teng teng game
Teng Teng

Permainan Teng Teng ni biasanya permainan budak perempuan. Tapi ada juga budak lelaki yang main (kes dah tak ada geng ๐Ÿ˜†).

Tarik Upih

Nostalgia anak kampung tarik Upih
Tarik Upih

Kalau di kampung saya Melaka guna pelepah kelapa sebab mudah didapati. Di sesetengah tempat guna pelepah pokok pinang atau sawit. Apa-apa pun fungsinya tetap sama. Kadang-kadang kami jadikan ianya perlumbaan. Yang untungnya budak berbadan kecil sebab selalu jadi penumpang.

Batu Seremban

Batu Seremban
Batu Seremban

Batu Seremban adalah permainan budak perempuan. Biasanya Batu Seremban dibuat dengan pasir yang dibungkus dengan kain dan dijahit. Ada juga yang guna, batu kerikil atau penutup botol oren.

Gasing Berembang

Gasing Berembang
Gasing berembang

Ada banyak versi permainan gasing. Gasing yang dalam gambar atas ini dinamakan Gasing Berembang kerana ianya diperbuat daripada buah berembang. Gasing jenis ini paling senang dimainkan kerana tidak memerlukan tali. Hanya memutarkan batang gasing dengan kedua belah tangan. Gasing siapa yang mati dulu dia kalah.

Congkak

Congkak
Congkak

Nama Congkak berasal dari perkataan congak, iaitu kira-kira. Kini telah dikomersialkan sehingga dijadikan tema filem. Orang dulu-dulu buat tapak Congkak dengan mengorek lubang tanah. Buah Congkak pula menggunakan biji getah. Kalau ada bajet sikit, guna biji guli.

Kelereng

Kelereng
Kelereng

Zaman dulu kalau ada basikal kira macam anak orang ada-ada. Tapi budak-budak dulu ni kreatif. Tak dapat main basikal, dapat main rim basikal pun jadilah. Bahannya mudah, sebatang kayu dan rim kosong. Rim digolekkan dengan menggunakan batang kayu.

Gerek Buluh
Gerek Buluh

Gerek Buluh

Permainan ini kira macam kereta sorong. Saya dulu guna kayu sebagai pemegang dan penutup tin sebagai rodanya.

Senapang Kayu

Senapang kayu
Senapang kayu

Permainan paling favorite budak lelaki. Bentuk senapang paling famous ialah M16. Peluru pula pakai buah cenerai. Kebetulan zaman tu tengah popular cerita Combat. Masing-masing berebut nak jadi Vic Morrow, Rick Jason, Jack Hogan dan (Tak ingat dah ๐Ÿ˜†). Tapi tak adalah pulak yang offer nak jadi askar german. Terpaksalah lat tali lat tali tamplom untuk dapatkan karaktor masing-masing.

Letup-Letup

Letup-Letup
Letup-Letup

Satu lagi permainan kegemaran budak lelaki ialah Letup-Letup. Permainan ini dibuat dengan menggunakan buluh cina. Pelurunya pula guna buah cenerai atau kertas suratkhabar yang direndam didalam air dan dibuat bulat macam perluru. Nampak aje kecil benda alah ini tapi boleh menghasilkan bunyi letupan yang kuat. Puas juga dulu kena maki dengan makcik-makcik yang terkejut bila dengar letupan meriam kecil ni ๐Ÿ˜†.

Industri Orang Kampung

Tikar Mengkuang

Anyaman tikar
Anyaman tikar

Orang dulu-dulu anyam mengkuang untuk hasilkan tikar. Banyak proses yang perlu dilalui untuk membuat tikar mengkuang ini dan ianya sangat rumit. Tugas saya dulu pergi mendapatkan daun mengkuang di benteng (sungai/taliair). Yang tak kenal daun mengkuang, daun ni berduri dan banyak terdapat di kawasan paya.

Ketupat

Anyaman Ketupat
Menganyam Ketupat

Terus terang saya katakan yang saya tak pandai menganyam ketupat ๐Ÿ˜€. Puas belajar dulu tapi tak pandai-pandai. Zaman sekarang semua dah instant. Ketupat sekarang bungkus dengan plastik aje. Lagi pun daun kelapa agak mahal sekarang terutama bila tiba musim raya.

Bedak Sejuk

Bedak sejuk
Proses menjemur cecair beras yang bila kering menjadi bedak sejuk.

Selama ini saya tak pernah tahu bagaimana bedak sejuk dibuat. Melalui pameran Nostalgia Anak Kampung, Alhamdulillah, banyak yang saya belajar, terutama anak-anak saya. Apa yang saya tahu bedak sejuk digunakan untuk rawatan seperti menghilangkan jerawat, merawat kulit wajah dan menyejukkan badan. Saya pun baru tahu rupanya bedak sejuk ini diperbuat daripada beras. Proses membuatnya juga mengambil masa yang agak lama, sampai berbulan-bulan.

Bedak sejuk
Beginilah rupa bedak sejuk yang dah siap

Aktiviti Lain

Memarut Kelapa

Kukur kelapa
Kukur kelapa bawah rumah

Teringat zaman dulu kalau ada kenduri-kendara atau dekat-dekat nak raya, kaum perempuan akan berkumpul duduk bawah rumah bergotong-royong menyediakan bahan untuk memasak. Antaranya ialah memarut kelapa. Kena pula kalau nak buat dodol, banyaklah kelapa yang nak diparut. Alat memarut kelapa ni ada macam-macam nama seperti penyagat, pemarut kelapa, dan kukur kelapa. Sekarang ni serba senang, pakai mesen pemarut aje ๐Ÿ˜.

Mengail

Mengail ikan
Acara mengail ikan ‘sungai’

Mengail ini berbeza sedikit dengan memancing. Jorannya mudah aje, batang buluh dan tali tangsi yang diikat di hujung buluh. Umpannya ialah cacing tanah. Joran tersebut akan dipacak pada tebing sungai sambil menunggu umpan mengena. Kebiasaannya akan dapat ikan betuk (puyuh) atau guan (haruan). Silap-silap ular yang makan umpan. Kalau kes macam ni, kita orang angkat seribu langkah terus balik ๐Ÿ˜†.

Kenderaan Awam

Bas Mini

Bas Mini
Bas Mini

Bagi mereka yang pernah tinggal di kotaraya Kuala Lumpur suatu ketika dulu, pasti akan merindui bas kecil warna merah jambu ini. Tambangnya hanya 30ยข sahaja dan terakhir naik 60ยข sebelum perkhidmatannya dihentikan secara rasmi pada tahun 1998.

Sebenarnya ada banyak lagi booth pameran yang ada tetapi saya tak sempat nak melawat kesemuanya. Namun apa yang sempat saya lawati sudah cukup untuk mengimbas kembali nostalgia zaman kanak-kanak 70’an.

4 thoughts on “Nostalgia Anak Kampung

  • 18th December 2019 at 4:28 pm
    Permalink

    Oh! semua ni memang nostalgia zaman Mrs. A kekecik dahulu nih!
    Paling win nostalgia main letup-letup.
    Zaman kecik-kecik dulu (tahun 80an 87 macam tu) suka main dengan abang-abang dan kawan-kawan kat semak belakang rumah.
    Peluru kita orang buah cenderai, main perang-perang lagak macam aksi combat.
    Selalu gak kena bebel dengan mak sebab baju habis comot dek getah buah cenderai tu hahaha.. Sayangnya time tu manalah ada smartphone bagai nak snap-snap moments indah macam sekarang .

    Reply
    • 22nd December 2019 at 10:33 pm
      Permalink

      Kita sezaman rupanya :). sebenarnya kita beruntung walau tak ada gajet zaman tu tapi yang serba kekurangan itulah yg membuat kanak-kanak dahulu jadi kreatif. zaman kanak2 dulu satu memori yg nostalgik & tidak akan dilupakan walau dimakan dek zaman serba teknologi canggih. tiada yg awal, tiadalah yg kini.

      Reply
  • 28th December 2019 at 12:14 am
    Permalink

    Dulu batu seremban tu siap jahit sendiri semata-mata nak main batu seremban, hehe. Oh ada lagi permainan 70 & 80 an. Dulu kami main getah dan lompat panjang. Polis sentri. Konda kondi. Banyak lagi ๐Ÿ˜…

    Reply
    • 1st January 2020 at 10:38 am
      Permalink

      ada lagi satu permainan dulu2 tapi budak lelaki jarang join iaitu main pondok2. kek @ kuih dibuat dr tanah. ada pulak yg jadi kedai jual brg runcit. daun dijadikan duit kertas. nak grand, main kawin2. satu lagi getah dipintal2 jadi getah gunduk (bahasa org melaka) kenudian guna utk lastik cicak. hmmm… mmg seronok zaman tu kalau dikenang balik. dlm keadaan serba kekurangan itulah menjadikan budak2 dulu jadi kreatif.

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *