Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya

Kompleks Nasyrul Quran terletak di Presint 14, Putrajaya merupakan Pusat Percetakan Al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Kompleks King Fahad di Madinah. Ianya berperanan sebagai pusat penyelidikan, percetakan, tafsiran, terjemahan (pelbagai bahasa), penerbitan dan pengedaran Al-Quran. Setakat ini ada 10 jenis al-Quran yang dikeluarkan antaranya Al-Quran terjemahan bahasa Inggeris, Palestin, Fattani, Khmer, Nusantara dan beberapa yang lain sebagai usaha mengembangkan syiar Islam diseluruh dunia.

Kompleks Nasyrul Quran, Presint 14, Putrajaya
Kompleks Nasyrul Quran, Presint 14, Putrajaya

Pada 28 April 2019, Nasyrul Quran telah meraikan ulang tahun yang kedua pembukaannya dengan mengadakan Hari Terbuka kepada orang awam. Kesempatan ini tidak saya dan famili lepaskan untuk berkunjung ke Nasyrul Quran dan melihat sendiri bagaimana proses percetakan Al-Quran dilakukan. Untuk makluman, Kompleks Nasyrul Quran ini tidak dibuka kepada orang awam pada hari-hari biasa melainkan kalau sudah dibuat temujanji dan lawatan perlu dibuat secara berkumpulan.

Galeri Pameran Nasyrul Quran

Lobi Nasyrul Quran
Lobi utama Nasyrul Quran

Di dalam kompleks ini terdapat bilik galeri pameran, bilik latihan, surau, dewan makan (cafetaria), galeri proses percetakan dan pejabat. Saya sangat tertarik dengan rekaan hiasan dalaman serta ukiran mushaf pada jubin-jubin yang dipamerkan. Saya difahamkan hiasan dalaman ini telah dihasilkan oleh Restu Research Islamic Architecture dan ID.

Galeri Mushaf Nasyrul Quran

Sekitar suasana di galeri pameran Mushaf.

Al-Quran Mushaf Iran
Al-Quran berasal dari Iran. Menggunakan khat Farisi. Diterbitkan pada tahun 1955.
Al-Quran Mushaf Ruzbihan
Al-Quran Mushaf Ruzbihan disalin oleh Muhammad Ibn Na’im al-Tabi’i manakala hiasan seni zukhruf dihasilkan oleh sekumpulan seniman di Shiraz, barat daya Iran. Manuskrip asal, No. 1558 disimpan di Chester Beatty Library, Dublin, Ireland.
Galeri Mushaf Nasyrul Quran
Keunikan mushaf menghiasi dinding di lobi utama
Galeri Mushaf Nasyrul Quran
Berbagai-bagai jenis Mushaf di pamerkan di galeri pameran Nasyrul Quran
Seni Mushaf pada jubin dan tembikar
Jubin khat di galeri Mushaf
Jubin khat di pintu masuk ke Kilang percetakan Nasyrul Quran

Galeri Jualan di Nasyrul Quran

Gerai menjual barangan khat dan cenderahati

Selain daripada pameran, berbagai-bagai aktiviti diadakan sempena Hari Terbuka Nasyrul Quran seperti lawatan ke seluruh kawasan percetakan Al-Quran, melawat galeri yang memaparkan kaligrafi hasil tangan anak-anak tempatan, tahsin solat, klinik Al-Quran, bengkel penyalinan Mushaf, batik printing dan juga gerai jualan.

Kitab-kitab dijual dengan potongan harga sehingga 70%

Proses Pembuatan Mushaf Al-Quran

Kawasan mencetak Al-Quran terletak besebelahan dengan bangunan utama Kompleks Nasyrul Quran. Kawasan ini sebenarnya kawasan larangan untuk orang awam. Walau bagaimanapun, pengunjung pada hari terbuka ini sangat bertuah kerana dibenarkan masuk untuk melihat segala kelengkapan mesin yang digunakan untuk mencetak Al-Quran. Pengunjung juga boleh membeli Al-Quran dan kitab-kitab di sini dengan harga potongan sehingga 70%.

Laluan utama ke kilang percetakan.
Pintu masuk utama ke kilang percetakan.
Mesin cetak Al-Quran
Sekitar kawasan kilang percetakan

Penghasilan Mushaf melalui beberapa proses yang sangat teliti.

  1. Mengenalpasti strukur dan motif dimana hanya motif struktur berkonsepkan bunga sahaja yang dibenarkan. Motif ini kemudiannya akan diimbas dan diedit di dalam komputer.
  2. Strategi pengwarnaan bagi mencari gabungan warna yang sesuai untuk motif yang telah dihasilkan.
  3. Lembaran akan diterap dengan menggunakan daun emas tulen. Lembaran ini akan diwarnakan pula oleh beberapa pakar seni warna.
  4. Proses seterusnya, ayat-ayat Al-Quran disalin oleh ahli kaligrafi. Saya difahamkan Nasyrul Quran kini mempunya 10 orang ahli kaligrafi tempatan dan 2 dari luar negara iaitu Mesir dan India. Mereka akan menyalin ayat-ayat Al-Quran apabila setiap kali mushaf baru dihasilkan.
  5. Ayat-ayat Al-Quran yang disalin akan ditashih bagi memastikan tiada kesilapan atau ralat sebelum ianya dihantar ke KDN untuk pengesahan yang selanjutnya.
  6. Setelah mendapat pengesahan, kerja-kerja seni akhir akan dilakukan dengan menggunakan komputer dan akan dihantar untuk dicetak (Ozalid) dan seterusnya untuk edaran. Nasyrul Quran kini mencetak 1 juta Al-Quran dalam setahun dimana 70% untuk kegunaan domestik manakala selebihnya diwaqafkan ke negara luar yang minoriti umat Islam.
Al-Quran yang telah dicetak untuk diwakafkan ke luar negara.
Kitab-kitab yang sedia untuk dijual di pasaran.

Diakhir lawatan, pengunjung diberi percuma senaskhah Al-Quran sebagai cenderahati. Jazakallahu khairan…

Jazakallah… Cenderahati daripada Nasyrul Quran

Kepada yang berminat untuk buat lawatan (secara berkumpulan) ke Kompleks Nasyrul Quran, boleh membuat temujanji secara talian dengan menyatakan nama kumpulan, tarikh, slot (ada 5 slot bermula dari 9:00 am hingga 5:00 pm, Isnin – Jumaat. Setiap slot diperuntukkan 2 jam), nombor telefon / email untuk dihubungi. Klik di sini untuk maklumat borang permohonan lawatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *